Nobat adalah sejenis pancaragam DiRaja yang hanya dimainkan di istana dan pemain muziknya pula hanya boleh terdiri daripada orang-orang tertentu sahaja. Sejak berabad, nobat hanya sinonim di telinga penduduk yang tinggal di sekitar kawasan nobat sering dimainkan seperti Alor Setar, Kuala Kangsar, Kelang dan Kula Terengganu. Manakala masyarakat luar tidak banyak yang mengetahui mengenai Nobat. Bertitik tolak daripada ini, Yang DiPertuan Agong pertama yang dilantik selepas negara mencapai kemerdekaan iaitu yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah mengistiharkan muzik Nobat sebagai muzik istana. Nobat telah dimainkan di istana negara sebagai pengesahan kepada pertabalan itu. Sejak itu Nobat mula dikenali masyarakat umum. Namun seiring dengan pergerakan zaman dan peredaran masa, pertabalan ini semakin dilupakan dan ramai generasi muda yang tidak didedahkan dengan maklumat mengenai Nobat.
Nobat telah dipilih sebagai bahan intipati kajian ini kerana muzik Nobat ini kurang didedahkan kepada masyarakat umum khususnya generasi muda. Sebagai muzik DiRaja, ia hanya dikenali di kalangan masyarakat istana sahaja. Selain daripada itu, didapati tidak banyak kajian yang pernah dibuat mengenainya. Antara lain aspek yang menarik mengenai kesenian muzik nobat ini ialah keunikan dan pantang larang dalam permainan Nobat. Selain itu, masih terdapat pertikaian mengenai asal usul kedatangan Nobat ke Tanah Melayu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Nobat dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang arab dan mubaligh islam. Manakala setengah pendapat pula menegaskan bahawa Nobat dibawa datang dari India. Pertikaian ini wajar dikaji kesahihannya.
Muzik Nobat adalah salah satu daripada cabangan kesenian yang unik dan tersendiri di rantau nusantara. Istimewanya kesenian Nobat adalah pengecualiannya daripada dimainkan kepada umum sebaliknya hanya digunakan untuk majlis-majlis tertentu istana. Antara majlis-majlis istana yang menggunakan muzik nobat sebagai penghibur utama atau pengiring majlis adalah seperti majlis perkahwinan, menyambut kelahiran baru di istana, istiadat pertabalan dan lain-lain lagi, daripada sekecil-kecil istiadat sehinggalah ke sebesar peristiwa di istana. Pada zaman kesultanan Sultan Abdul Hamid Shah Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah sekitar tahun 1882-1943, negeri Kedah memiliki sebanyak 3 kumpulan Nobat. Kemudian bertambah kepada empat kumpulan semasa zaman pemerintahan Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 1943-1958. Namun kini, hanya tinggal dua kumpulan sahaja yang diketuai oleh seoang kalau besar bagi setiap kumpulan. Pada masa kini kumpulan Nobat Kedah memiliki seramai 13 orang pemain yang terdiri daripada Penghulu, dua orang Kalau Besar, dan 10 orang pemain. Pemain biasa ini turut dikenali sebagai Orang Nobat. 12 pemain ini dibahagikan pula kepada dua kumpulan. Di dalam setiap kumpulan akan memiliki masing-masing 5 Orang Nobat dan seorang Kalau Besar.Kedua-dua kumpulan ini akan betugas secara bergilir-gilir. Mereka akan bertugas secara berselang seli setiap seminggu. Bermakna setiap kumpulan akan bekerja selama seminggu, dan kemudian bercuti selama seminggu secara bergilir-gilir. Semasa tidak bertugas, kumpulan yang bercuti ini akan menjalani latihan.
Pantang larang Nobat
- Sesiapa yang melanggar pantang larang Nobat dipecayai akan menerima bala atau bencana. Antara pantang larang yang masih kuat dipegang hingga kini adalah seperti:
Alatan muzik Nobat tidak boleh dipersendakan oleh sesiapa dan kedudukannya mestilah tetap dan tidak boleh diubah sesuka hati. - Semasa alat muzik Nobat dibawa turun ke Balai Besar, sesiapa pun tidak dibenarkan melintas dihadapannya.
- Mahaguru merupakan alat penunjuk dan mesti dihormati. Jika ada yang kurang tertib, mereka akan menerima balasannya.
- Alat-alat Nobat ini tidak boleh dimainkan di pesta-pesta atau temasya lain.
Orang-orang Nobat tidak dibenarkan mengajar semua lagu yang diketahui kepada keturunannya. - Sesiapa pun tidak dibenarkan menyentuh alat muzik Nobat ini.
Semasa Nobat hendak dimainkan, pemian Nobat ini mestilah mengikut jalannya ke tempat letak alat-alat itu sebelum dibenarkan duduk. - Sesiapa pun tidak dibenarkan melihat permukaan bawah gendang Nahara keana ia dipecayai diperbuat daripada kulit perut perempuan mengandung.
- Kedudukan alat Nobat ini mestilah tetap dan tidak boleh diubah. Nahara mestilah menghadap ke arah matahari terbit.
- Semasa hendak menyalin kulit Nahara, pemain Nobat mestilah menggunakan kain selendang berwarna kuning.
- Apabila alat-alat hendak diturunkan ke tempat lain seperti Balai Besar hendaklah mengikut peraturan iaitu didahului oleh Semambu atau Mahaguru, Serunai, Gendang ibu, Gendang anak, Gong, dan Nafiri.
- Semua pemain Nobat mestilah megikut keturunan dan muzik Nobat selalu diperturunkan kepada anak lelaki sahaja.
- Apabila ayah atau pemain hendak berhenti dari bemain Nobat, dia mestilah melatih anaknya dirumah terlebih dahulu dengan menggunakan alat Nobat rekaan. Setelah anaknya mahir, dia boleh menggantikan tempat ayahnya dengan syarat ayahnya mesti menyediakan Nasi Kunyit dan dikemenyankan.
- Kemudian si anak pelu memakan sekepal Nasi Kunyit sebelum mula bemain.
Semasa bermain Nobat, para pemain mestilah memakai pakaian rasmi berwarna hitam
-------------------------------
dipetik sumber dari www.nobat.hostrocket.com